Kepimpinan UMNO masih "in denial"


| | Comments (1) | TrackBacks (0) | Previous Blog
Saya ucapkan terimakasih kepada pelawat chedet.com terutama pembahas-pembahas yang telah memberikan pandangan serta komentar mereka terhadap penulisan saya.


Saya telah siarkan hampir semua komentar yang dihantar. Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada semua pelawat yang saya terima semua komentar dan akan siarkan kesemuanya kecuali yang mengandungi bahasa kesat. Marilah kita sama-sama menjaga tatatertib di dalam blog ini.

Saya juga akan memberi maklum balas kepada isu-isu yang saya rasakan perlu dan meminta maaf kerana tidak mungkin akan dapat memberi jawapan kepada semua soalan yang ditujukan pada satu posting.

Berkenaan dengan penulisan saya yang sebelumnya, saya kurang faham akan teguran Alex Yap mengapa saya tidak sebut Tan Cheng Lock, pemimpin MCA dan pemimpin-pemimpin lain yang telah berjuang untuk kemerdekaan.


Saya bukan bincang berkenaan dengan perjuangan untuk kemerdekaan. Saya juga bukan bincang berkenaan dengan MCA ataupun Perikatan dan Barisan Nasional.

Saya bincang berkenaan UMNO dan pemimpinnya di waktu tertentu. Di waktu melawan Malayan Union, pemimpin tertinggi UMNO ialah Dato Onn Jaafar. Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, V.T. Sambanthan bukan pemimpin UMNO.

Semasa perjuangan untuk kemerdekaan pemimpin UMNO ialah Tunku Abdul Rahman. Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan bukan pemimpin UMNO. Demikian pembangunan Malaysia yang pesat berlaku semasa kepimpinan UMNO melibatkan tiga orang Presiden UMNO.

Jika saya bincang berkenaan Perikatan dan Barisan Nasional saya perlu sebut pemimpin-pemimpin Perikatan dan Barisan Nasional. Tetapi tumpuan saya terhad kepada UMNO dan pemimpinnya.

Demikian prestasi buruk UMNO pada 2008 perlu dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin UMNO. Ia tidak boleh dipersalahkan kepada pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti komponen Barisan Nasional. Jika saya bincang berkenaan prestasi buruk Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 maka barulah saya perlu sebut nama pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Ada pendapat di kalangan pemimpin dan sebahagian ahli UMNO bahawa apa yang perlu dibuat sekarang ialah bersatu padu dan memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Masalahnya kekalahan UMNO disebabkan oleh Dato Seri Abdullah sendiri. Dia mendapat sokongan padu UMNO pada 2004. Sepatutnya sokongan ini ditunjuk dalam Pilihanraya Umum 2008. Tetapi dalam jangka masa 2004-2008, orang ramai dan ahli-ahli UMNO sendiri melihat keburukan Kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah seperti yang disebut di dalam blog saya dan mereka mahu Dato Seri Abdullah berhenti daripada menjadi Perdana Menteri.

Sekarang ini ramai yang secara terbuka menyatakan hasrat mereka untuk Dato Seri Abdullah meletak jawatan.

Bagaimanakah boleh ada pendapat bahawa Dato Seri Abdullah patut diperkuatkan melalui sokongan padu kepadanya sedangkan hasrat dan tujuan sebahagian ahli UMNO mengundi parti lawan ialah untuk menentukan Dato Seri Abdullah letak jawatan.

Ahli dan penyokong UMNO dan Barisan Nasional yang telah mengundi parti lawan hanya akan kembali kepada UMNO dan BN jika hasrat mereka tercapai - iaitu Dato Seri Abdullah tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Jika hasrat mereka tidak tercapai besar kemungkinan mereka kekal sebagai penyokong parti lawan. Dengan itu penyokong dan ahli UMNO akan terus berkurangan dan UMNO serta Barisan Nasional akan terus lemah.

Inilah mesej sebenar dari Pilihanraya Umum ke-12. Jika kepimpinan UMNO masih tidak faham, masih "in denial" pemulihan UMNO dan BN tidak akan dapat dilaksanakan dan UMNO serta BN akan kalah lebih teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13. Akan tamatlah riwayat UMNO.

Kata Hang Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia". Tetapi apakah jenis Melayu yang tak hilang ini? Apakah yang tinggal ini Melayu yang dihina dan diperhambakan, Melayu yang meminta-minta daripada orang lain, Melayu yang tidak berkuasa di negara sendiri?

Sama-samalah kita renungkan.

0 TrackBacks

Listed below are links to blogs that reference this entry: Kepimpinan UMNO masih "in denial".

TrackBack URL for this entry: http://test.chedet.com/cgi-bin/mt/mt-tb.cgi/8

1 Comments

salam Tun,

Ini cuma pandangan saya yang mungkin berakal pendek. DSAAB menang pilihanraya 2004 bukan sebab rakyat yakin dengan pentadbirannya, tetapi rakyat menyokong BN pada masa itu kerana masih dlm keadaan sedih dan teramat menyayangi TUN kerana TUN baru bersara dan ingin menyokong perjuangan TUN selama ini, tapi TUN lihat pilihanraya pada tahun 1999 dimana BN juga goyah, kerana rakyat bengang dengan apa terjadi kepada ex-TPM DSAI. Sewaktu TUN dgn DSAI dulu, seolah-olah satu gabungan yg amat secocok, ramai org sukakan DSAI kerana watak dan keperibadiannya, tetapi apabila berlakunya tragedi itu, seolah-olah rakyat tergamam dan membenci TUN kerana bukan semua rakyat mempercayai akhbar. dari detik itu hingga pilihanraya 2004, rakyat kembali ke pangkuan BN kerana tragedi DSAI sudah luput dan dimaafkan. Menyokong BN pada 2004 adalah kerana TUN bukan DSAAB.

wasalam,

Leave a comment

About Me

Dr. Mahathir Mohamad

Putrajaya, Malaysia

Prime Minister of Malaysia
1981 - 2003

Dedication

Preface

Welcome to my Weblog. This site is dedicated to publishing my writings as and when I am able to pen my thoughts and opinions.

Interested parties, including the Press, may reproduce or quote materials published with the condition that they are credited to chedet.com. Comments must be accompanied by names or pseudonyms.

Anonymous postings and those containing profanities and obscenities will be rejected.- Che Det

Categories

Pages

Visitors

Powered by Movable Type 4.12